Friday, 19 December 2014

Saya Berkemban Mengikut Arahan


ARTIS dan isu berkemban bukanlah baharu. Sebelum ini pun, banyak
penerbitan drama dan filem melibatkan artis berkemban mendapat kecaman 
sesetengah pihak yang tidak selesa dengan imej sedemikian.

Justeru pelakon Izreen Azminda yang mengetahui dirinya perlu berkemban
dalam pementasan teater arahan Erma Fatima, Takhta 3 Ratu, menyedari 
hal ini akan jadi isu di kemudian hari sebaik sahaja memutuskan mahu terima
tawaran tersebut.

“Dari awal lagi saya tahu watak tersebut memerlukan saya berkemban. Malah
Erma juga bertanya sama ada saya sedia atau tidak untuk tampil sedemikian. 
Apabila saya terima tawaran membawakan watak Galuh, saya tahu ia akan 
jadi isu. Tapi saya anggap ia normal apatah lagi setelah dipentaskan.

“Segala komen dan kritikan adalah di luar kawalan saya. Lagi pula saya 
bukannya nak sangat berkemban, cuma sekadar menjayakan tuntutan watak 
tersebut. Saya buat berdasarkan logik cerita. Seandainya penampilan Galuh
itu dipersembahkan seperti Tun Teja, memang tak kena. Jadi saya harap isu 
ini tidak dipandang negatif,” ujarnya kepada portal Media Hiburan.

Sebelum memulakan pementasan, Erma sendiri sudah menyatakan dia enggan
karya terbaharunya itu dipandang negatif kerana wujudnya watak pelakon 
berkemban.

Pementasan Takhta 3 Ratu membariskan senarai pelakon terkenal dan berbakat
besar antaranya Beto Kusyairy, Awie, Erra Fazira, Azri Iskandar, Soo Wincci,
Datuk Rahim Razali dan ramai lagi.

Pementasannya akan berlangsung dari 13 hingga 22 Disember ini di Istana 
Budaya (IB) dan tiket-tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh dibeli di
kaunter IB atau menerusi laman www.airasiaredpix.com

0 comments